Sembahyang Fardhu Asar

Sembahyang Fardhu Asar adalah antara sembahyang fardhu lima waktu yang wajib dilakukan bagi setiap umat Islam yang mukallaf.

Waktu menunaikannya ialah pada siang hari di antara selepas habis tempoh bagi waktu menunaikan Sembahyang Fardhu Zuhur sehinggalah sebelum terbenamnya matahari iaitu sebelum masuk waktu Sembahyang Fardhu Maghrib.

Kita boleh menentukan masuk waktu Sembahyang Fardhu Asar dengan menggunakan sebatang kayu yang didirikan di atas tanah dan di bawah cahaya matahari.

Waktu Masuk: Apabila bayangan kayu itu sama panjang dengan ukuran kayu tersebut maka waktu sembahyang fardhu asar telah masuk.

Waktu Akhir: Apabila matahari terbenam seluruh bulatnya maka waktu sembahyang fardhu asar telah berakhir dan masuk pula waktu Sembahyang Fardhu Maghrib.

Manusia pertama yang melakukan Sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s. apabila baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Baginda di tepi pantai, sedangkan pada ketika itu telah masuk waktu Asar. Baginda pun sembahyang empat rakaat sebakai tanda syukur kerana telah diselamatkan oleh Allah SWT dari empat kegelapan:

  • Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  • Rakaat kedua: Kelam dengan air laut
  • Rakaat ketiga: Kelam dengan malam
  • Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Rasulullah bersabda:

“…dan barangsiapa mendapat satu rakaat dari solat Asar sebelum matahari terbenam maka ia telah mendapat solat Asar…”

Balasan orang yang meninggalkan sembahyang fardhu: Orang-orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja tapa keuzuran syarie adalah berdosa dan akan dibalas dengan azab iaitu neraka Saqar sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka bertanya): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawap: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang“. (Surah Al-Muddathir ayat 42-43)

Balasan Meninggalkan Solat Asar: Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda: “Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya“. (al-Bukhari)

CARA MELAKUKAN SEMBAHYANG FARDHU ASAR

Cara melakukan Sembahyang Fardhu Asar adalah sama dengan Sembahyang Fardhu Zuhur. Beza antara keduanya hanyalah pada niat dan waktu menunaikannya.

Niat Sembahyang Fardhu Asar

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً  ِللهِ تَعَالىَ

“Sahaja aku sembahyang  fardhu asar empat rakaat tunai kerana Allah Taala,

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku sembahyang  fardhu asar empat rakaat tunai menjadi imam kerana Allah Taala

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku sembahyang fardhu asar empat rakaat tunai menjadi makmum kerana Allah Taala

Dikendalikan oleh : 11DL007 : Awg Md Syahrini Bin Hj Panjang